Monday, July 11, 2011

SEJARAH SEKOLAH


Sekolah ini diasaskan oleh Datuk Penghulu Mk. Padang Temak, En Buhanuddin bin Saad, Datuk Panglima, En, Said bin Lebai Mohamad dan Ketua-ketua Kampung.

Pada mulanya, dalam tahun 1949 sekolah ini dibangunkan dengan muafakat orang-orang kampung yang dahagakan pelajaran dan mahu melihat anak-anak mereka menjadi orang yang berguna dalam masyarakat dan negara. Namun demikian, sekolah ini roboh begitu sahaja kerana kurang sambutan disebabkan tidak ramai murid dan sukar untuk mendapatkan tenaga pengajar (guru). Pada tahun 1953, sekolah ini sekali lagi cuba dibangunkan semula tetapi masih gagal.

Pada tahun 1960, sekolah ini sekali lagi cuba dibangunkan. Sebuah Jawatankuasa Kerja telah dibentuk dengan keahliannya seramai 9 orang, terdiri daripada wakil setiap kampung seorang ahli dan setiausahanya ialah En. Mehat bin Awang Ahmad. Namun demikian, usaha tersebut masih gagal disebabkan sukar untuk mendapatkan guru dan ketidaksanggupan orang-orang kampung menggajikan mereka.

Pada Tahun 1961, bangunan yang dibangunkan pada tahun 1960 itu telah mendapat perhatian Yang Berhormat Datin Fatimah bt. Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Padang Terap dan Pegawai Daerah Padang Terap, En Harun bin Hj. Hamzah dan Guru Pelawat, Tuan Hj. Ahmad bin Awang.  Mereka telah berusaha untuk menarik perhatian daripada pihak kerajaan. Pada Pertengahan Tahun 1961, apabila Rancangan Pembangunan Luar Bandar diwujudkan, mereka telah berikhtiar supaya rancangan pembinaan sekolah di Kg. Nai Teh ini dimasukkan ke dalam program Rancangan Pembangunan Luar Bandar Daerah.

Pada bulan Ogos 1961, En. Mustaffa bin Rajis, Ketua Pegawai Pelajaran Daerah Negeri Kedah bersama-sama dengan Guru Pelawat, Tn. Hj. Ahmad bin  Awang telah hadir bagi melihat sendiri bangunan sekolah sementera yang telah didirikan tersebut. Ahli Jawatankuasa Kerja Pembinaan Sekolah telah dinasihati supaya lanatai sekolah disimen.

Pada 1/9/1961, usaha ini telah mendapat perhatian dan sekolah ini mendapat bantuan penuh daripada pihak kerajaan. En. Abd. Karim bin Shafie telah dilantik sebagai Guru Besar pertama dan beliau sendiri adalah guru ditugaskan untuk mengajar di sekolah ini. Murid-muridnya pada ketika itu seramai 41 orang lelaki dan perempuan. Pada bulan Oktober 1961, satu perjumpaan telah diadakan bagi tujuan menubuhkan Jemaah Lembaga Pengurus/Pengelola sekolah yang terdiri daripada 3 orang wakil ibu bapa di kampung ini.

Pada awal Tahun 1962, seorang lagi guru, En. Md. Rejab bin Said telah dihantar ke sekolah ini oleh Pejabat Pelajaran Negeri Kedah. Kemudian, pada 1/9/1962 seorang lagi guru, Pn. Fatimah bt. Abd. Salim telah dihantar ke sekolah ini.

Pada bulan September, sebuah bangunan baru telah didirikan di bawah Program Rancangan Pembangunan Luar Bandar. Pada awal Tahun 1963, bangunan baru Sekolah Nai Teh telah siap dibina dan murid-murid memulakan persekolahan mereka di bangunan baru ini. Pada ketika itu, sekolah ini telah mendapat tambahan 2 orang lagi guru sementara dan menjadi semuanya seramai  5 orang.


Catatan:
i.    Catatan sejarah sekolah ini ditulis oleh En. Abdul Karim bin Shafie, Guru Besar Pertama,
      bertarikh 1 Mac 1963.


3 comments:

Aini (S210135) said...

Terima kasih cikgu Atie atas maklumat sejarah sekolah yang sangat menarik...

RUSNAWATI ABU BAKAR (210248) said...

Sama2....Kita sebagai guru perlu tahu serba sedikit tentang sejarah sekolah yang kita mengajar..

Rohana Ayob said...

Tanpa sejarah tiadalah masa hadapan...setuju dengan pendapat Cikgu.

Selamat Datang

Masa Itu Emas

Blog Archive

Powered by Blogger.

Followers