Saturday, July 9, 2011

Guru-guru Bahasa Malaysia yang mengajar di sekolah-sekolah rendah kebanyakannya bersikap positif terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian ini menyamai dan disokong oleh beberapa kajian terdahulu tentang sikap guru terhadap penggunaan ICT sama ada dalam pengajaran Bahasa Malaysia ataupun mata pelajaran lain. Antara kajian penyelidikan yang telah dijalankan terhadap guru Bahasa Malaysia adalah seperti kajian Hamzah (2003), Mohd. Khairuddin (2005), Suwarnee (2006), Nor'aini (2007), dan Fairose (2007). Hasil kajian ini turut mendapat sokongan daripada penyelidikan dalam mata pelajaran lain, termasuk kajian Abdul Malek (2002) yang meninjau terhadap penggunaan ICT dalam mata pelajaran aliran kemanusiaan dan aliran teknik dan vokasional, manakala kajian M. Nadarajah (2002) melihat kepada penggunaan ICT bagi mata pelajaran Ekonomi, sementara Mohd. Jasmy, Mohd. Arif, dan Norsiati (2003) telah melakukan kajian ke atas mata pelajaran Sains dan Matematik. Dalam pada itu, kajian-kajian juga pernah dilakukan ke atas oleh guru-guru terhadap penggunaan ICT secara umum tanpa memfokuskan mata pelajaran yang tertentu seperti kajian Roslina (1999) dan Abdul Manan (2005). Hasil kajian tersebut juga mendapati guru-guru mempunyai sikap yang positif terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran mereka. Suwarnee (2006) telah juga melihat kesediaan guru-guru terhadap penggunaan ICT. Hasil kajiannya mendapati sikap guru Bahasa Malaysia terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran berada pada tahap yang tinggi dengan skor min 3.94. Dapatan kajian ini telah menunjukkan bahawa guru Bahasa Malaysia bersikap positif terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.
            Hasil analisis ujian ke atas sikap guru BM yang pernah menghadiri kursus ICT dengan guru BM tidak pernah menghadiri kursus ICT telah menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan dari aspek sikap guru-guru BM terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa guru-guru BM yang pernah menghadiri kursus ICT lebih bersikap positif dan bersedia menggunakan ICT dalam pengajaran mereka berbanding dengan guru-guru yang tidak pernah menghadiri kursus ICT kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan serta kemahiran untuk mengendalikan komputer dan mengaplikasikan ICT dalam pengajaran.
      Berdasarkan dapatan kajian ini dapat menjelaskan bahawa guru-guru BM yang tidak pernah menghadiri kursus ICT mempunyai sikap negatif terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran. Dapatan kajian ini disokong oleh hasil kajian Zulkifli dan Raja Maznah (1994), mendapati guru-guru yang tidak mempunyai pengalaman dengan komputer kebiasaannya mempunyai sikap yang negatif dan tahap kebimbangan yang tinggi terhadap komputer. Ini sejajar dengan pendapat Summer (1990) dalam Christensen (1997) bahawa satu daripada sebab utama guru bersikap negatif terhadap komputer disebabkan kurangnya pengetahuan dan pengalaman dalam bidang berkenaan. Begitu juga dengan dapatan kajian oleh Russel dan Bradley (1997) dalam Alexandra et al. (2006) melaporkan bahawa ramai guru yang tidak menggunakan komputer disebabkan mereka kekurangan keyakinan diri ataupun berasa takut akan komputer. Selain itu, kajian Becker dan Watt (1996) mendapati kewujudan sikap negatif guru disebabkan oleh guru telah sebati dengan kaedah tradisional dan sukar untuk membuat penyesuaian dengan teknologi instruksional. Kajian Becker dan Watt (1996) telah disokong oleh Norin  (2004) yang menyatakan kebanyakan guru yang berpengalaman telah mempunyai mind-set tentang kaedah pengajaran yang disukai mereka. Kajian ini turut disokong oleh Padraig & Mark (2007)yang mendapati bahawa terdapat 35% - 40% guru sekolah menengah mengakui mereka langsung tidak pernah menggunakan komputer sama ada di sekolah mahupun di luar sekolah.
    Justeru, guru-guru Bahasa Malaysia yang tidak pernah menghadiri sebarang kursus ICT harus didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran penggunaan ICT melalui kursus-kursus ICT yang ditawarkan. Ini sejajar dengan pendapat Ahmad Fuad (2003) bahawa hasrat untuk mencapai penggunaan ICT secara menyeluruh dalam proses P&P memerlukan dua jenis perubahan dalam kalangan guru. Pertama, guru harus diyakinkan bahawa terdapat banyak kebaikan dan kepentingan penggunaan ICT dalam P&P. Kedua, guru perlu diberikan kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan peralatan ICT secara cekap dan efektif. Dalam pada itu, Albion (1999) menyarankan bahawa satu cara yang ideal untuk meningkatkan efikasi guru terhadap penggunaan ICT adalah dengan menyediakan latihan kemahiran ICT kerana latihan ini berupaya meningkatkan efikasi guru.


 KESIMPULAN
Secara keseluruhan, didapati guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah rendah  mempunyai sikap yang positif terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran. Walau bagaimanapun, hasil kajian menunjukkan guru-guru Bahasa Malaysia mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang sederhana terhadap penggunaan ICT. Guru-guru mempunyai sikap yang sederhana dalam usaha menggunakan ICT ketika menjalankan pengajaran dan pembelajaran. Sikap yang sedemikian agak membimbangkan kerana bahan-bahan pembelajaran bahasa lebih mudah diperolehi daripada sumber yang berteraskan ICT. Perkara yang sedemikian ada kaitannya pendedahan kepada guru Bahasa Malaysia terhadap ICT. Lanjutan daripada isu tersebut menyebabkan juga keyakinan guru-guru Bahasa Malaysia untuk menggunakan ICT dalam pengajaran adalah sederhana. Justeru, pihak Kementerian  Pelajaran Malaysia dan pihak berwajib harus berganding bahu untuk menangani masalah tersebut kerana sekiranya sebarang tindakan dan langkah yang sewajarnya tidak diambil, maka berkemungkinan guru-guru kita akan terus dihanyut dan ditinggalkan oleh ilmu ICT, khususnya aspek pengetahuan dan kemahiran penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Sebagai langkah bijak, kumpulan guru yang kekurangan pengetahuan dan kemahiran tentang ICT harus dipantau dan dikenal pasti dengan kadar segera supaya dapat diberi kursus atau latihan ICT. Kedudukan sekolah di pedalaman seharusnya diberikan perhatian yang serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam masa yang sama, guru-guru Bahasa Malaysia harus mengambil inisiatif sendiri untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ICT supaya dapat diaplikasikan ke dalam pengajaran. Justeru, pengajaran secara tradisional yang berteraskan "chalk and talk" perlu diubah untuk disesuaikan dengan kaedah pengajaran baharu.

7 comments:

MUHAMAD SOBRI B ABDUL RAHIM said...

artikel yang menarik...alhamdulillah, sehingga hari ini saya dah gunakan ict dalam pengajaran bm hampir 8 tahun...

Ahmad Rashidi said...

Faham la bila dah baca ni

rotifah said...

Saya bersetuju dengan artikel.bukan semua guru BM celik ICT .mungkin bahagian kurikulum perlu mengadakan kembali kursus ICT 2 minggu sebab saya anatara yang tidak sempat hadir

CIKGU FOZIAH ABDULLAH said...

guru mestilah mempelbagaikan P&P supaya lebih menarik. penggunaan kapur dan papan hitam bukan lagi bahan BBM betul dak cikgu2.

RUSNAWATI ABU BAKAR (210248) said...

Kita sebagai seorang guru perlu menambah baikan diri kita dari masa ke semasa dengan ilmu ICT

NORAZLINA said...

ict pemangkin kecemerlangan pendidikan

NORAZLINA said...

kecewa gak bila ppsmi dihentikan.....

Selamat Datang

Masa Itu Emas

Blog Archive

Powered by Blogger.

Followers